Friday, December 17, 2010

Muka dia macam...

Masa tu aku tengah lepak dengan kawan aku dekat satu kedai, sambil minum air untuk hilangkan dahaga akibat penat melarikan diri daripada beruk-beruk yang mengganas. Tiba-tiba ada seorang budak lelaki menegur aku dari belakang.

"Kak, ada orang nak jumpe akak." Aku buat tak tahu sebab memang aku tak tahu yang budak tu cakap dengan aku. Budak lelaki tu pun cuit bahu aku. Dengan muka seposen, dia duduk di kerusi kosong sebelah aku.
"Ish budak ni. Tiba-tiba je...." kataku dalam hati sambil berpaling melihat mukanya yang sangat 'familiar'.

"Oh, kau...," kataku terhenti di situ sebab aku memang tak ingat nama dia, tapi ingat muka dia je.
"Kak, ada orang nak jumpe. Nama dia Aizat. Dia dekat hujung sana." Katanya sambil menundingkan jari ke arah satu tempat. Disebalik tiang kedai, aku nampak sekumpulan manusia. Seorang lelaki berdiri membelakangi aku manakala kawan-kawannya - aku rasa kawan dia - menghadap dia sambil mata mereka kadang-kadang melihat ke arah aku.

"Aizat mana pula ni? Ada ke aku kenal siapa-siapa nama Aizat?" bisik hatiku sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Aku pun bangkit dari tempat duduk dan berjalan menuju ke arah lelaki yang bernama Aizat.
"Emm kenapa?" tanyaku kepada lelaki tersebut.
"Saja nak tengok awak. Nak kenal awak. Nak tahu siapa ketua Kadet Polis sekarang." Dia menjawab sambil tersenyum, menundukkan muka dan berpura-pura menggaru kepala.
Dengan muka kehairananku, "Ketua Kadet Polis? Dah lama laa. Tapi bukan ketua pun. Tolong biasa-biasa je."

Hatiku berkata, "Kenapa muka mamat ni macam.....". Belum sempat aku menghabiskan ayat, lelaki tersebut mengajak aku ke rumahnya. Ada buat makan-makan katanya. Dengan pantas dia berjalan mendahului aku. Budak lelaki yang menegurku tadi turut mengikut. Aku pun tak sedar bila dia berada di situ kerana aku masih berada dalam dunia kehairanan aku tentang lelaki yang bernama Aizat.

Aku tak sempat menaiki lif yang sama kerana Aizat berjalan terlalu pantas tanpa menoleh ke belakang. "Ish, suruh orang ikut, tapi jalan macam ape je. Main tinggal je orang. Ni yang malas ni." bentak hatiku.
"Apa la Abang Aizat ni. Jap ye kak." satu suara berkata-kata dan mengembalikan aku ke keadaan sekeliling.

Budak lelaki yang masih tidak aku ketahui namanya berjalan menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang duduk berbual di lobi. Setelah meneliti, baru aku sedar bahawa mereka adalah lelaki yang sama yang bersama-sama dengan Aizat di kedai tadi. Hairan juga aku bila masa mereka berjalan bersama kami.

"Ok. Tingkat 23." Kata budak lelaki tersebut mematikan lamunanku sambil menarik tanganku untuk masuk ke dalam lif yang telah terbuka.


**************************************************************

Budak lelaki tersebut terus berlari keluar setelah pintu lif terbuka dan menuju masuk ke satu pintu. Aku berjalan perlahan-lahan ke arah pintu tersebut dengan rasa gementer yang menguasai diri sejak dari dalam lif. Aku menolak sedikit pintu yang tidak tertutup rapat itu dan menjengahkan kepala melihat ke dalam rumah tersebut. Kecoh dengan suara kanak-kanak. Tanpa aku sedari, dua orang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 6 tahun melihat tindakanku dari belakang pintu. Seorang dengan pembayang mata merah jambu dan seorang dengan pembayang mata hijau. Muka mereka seakan-akan sama. Kembar barangkali.

Aku menoleh ke sebelah kanan dan mendapati terdapat satu meja makan yang telah tersedia beberapa hidangan. Tiba-tiba seorang budak perempuan yang lebih dewasa yang berkemungkinan berumur 14tahun berdasarkan ketinggiannya memegang lenganku dan berkata, "Kak, jom la tolong saya dekat dapur. Mak dah bising. Lagi pun dia nak jumpa akak."

Aku tersentak seketika. "Mak nak jumpa?" tanyaku. Budak perempuan itu mengangguk dan berlalu pergi. Dalam pada itu, aku terdengar satu suara dari dapur. Ku lihat jasad wanita yang membelakangkan aku, bertudung labuh berwarna hijau muda dan berbaju kurung, yang aku yakin 'Emak' berkata, "Dah sampai ke? Cepat la masuk. Makcik nak tengok sikit kawan Along yang disebut-sebut tu."

Sebaik mendengar perkataan 'along' itu, otak ku kembali mengeluarkan imej lelaki yang bernama Aizat. Baru aku teringat tentang lelaki tersebut. Lelaki yang menjadi punca aku berada di sini. Aku melihat diriku. Dengan baju putih dan berselendang merah jambu, dah la peluh baru kering.
"Takkan pakai macam ni? Takkan nak masuk macam ni je." bisik hati kecilku. Tiba-tiba aku menjadi gugup. Dua beradik kembar yang sedari tadi menjadi pemerhati aksi spontanku yang tidak aku tahu bagaimana rupanya, hanya sengih melihat reaksiku yang pelbagai rupa.

Aku melangkah masuk dengan perlahan. Aku menoleh ke kiri dan ternampak kelibat Aizat berjalan ke sana ke mari sambil membawa beberapa barang dan meletakkan di satu tempat. Kemudian dia melutut di satu sudut sambil mengemas barang-barang permainan yang berselerak dan memasukkan ke dalam satu bakul. Masih tidak tahu yang dirinya diperhatikan, dia bergurau dengan kanak-kanak lelaki berhampirannya. Sesekali dia meminta kanak-kanak kembar tadi supaya mengemaskan barang permainan. Ya, lelaki itu. Tinggi yang sederhana, berkulit kuning langsat dengan rambut yang disisir rapi membuatkan aku teringat akan seorang lelaki yang miripnya seakan Aizat. Seseorang yang baru aku jumpa tapi tidak pernah terfikir apa-apa tentangnya. Aku pasti, ini adalah lelaki yang sama.

"Buat apa lagi tu tak masuk-masuk sini? Cepat la!" Satu laungan dari dapur mengejutkan aku. Dengan pantas aku berjalan masuk ke dapur.
"Orang dah nak siap baru nak tolong. Macam ni ke...!" Kata-kata wanita yang dikenali sebagai emak terhenti di situ. Dengan wajah yang tidak puas hati dengan kelakuanku, dia berlalu sambil membawa lauk ke meja. Aku ikut sahaja. Dia memanggil yang lain untuk makan. Aku, orang terakhir yang dipanggilnya. Aku hanya diam.

Aku meminta izin untuk mandi dahulu. Bila masa barang-barang mandian dan baju-baju berada di rumah itu, aku pun tak pasti. Aku berlalu dan ingin masuk ke satu bilik. Tiba-tiba aku terdengar suara orang memberi salam sebagai menyudahi solat. Kakiku kaku. Aku melihat dari tingkap dan ternampak Aizat baru selepas solat. Sejuk hatiku melihat dirinya. Berbaju melayu hijau lembut dan berkain pelikat. Satu perasaan masuk jauh ke dasar hatiku.

Aizat bangun dan melipat sejadah. Dia mengadap cermin, meletakkan songkok di atas meja solek dan membetulkan rambutnya. "Hensem juga dia ni." bisik hati nakalku. Aku tersenyum seorang. Namun tidak lama, senyumanku mati. Aku tersedar dan mendapati Aizat ingin berpaling keluar dari bilik. Aku ingin masuk dari pintu bilik air sebelah luar kerana bilik air itu mempunyai dua pintu. Satu dari dalam bilik dan satu dari sebelah luar. Aku andaikan Aizat akan keluar melalui bilik. Tapi sebaliknya. Aku dengan pantas ingin mengelak. Aku berlari dan duduk menghadap dinding dimana begku berada. Aku berpura-pura mencari baju.

Aizat berhenti dibelakangku dan mengajak aku makan bersama. Aku hanya menunduk dan menggeleng sambil berkata "Takpe la. Awak pergila dulu. Saya nak mandi dulu." Aizat hanya mengangguk. Aku bingkas bangun menuju ke bilik air dan dari sudut mata, aku perasan Aizat memerhatikan aku sebelum berlalu ke meja makan. Di dalam bilik air, aku seakan-akan ingin menjerit dengan semua yang terjadi kerana segala-galanya bagi aku adalah diluar kewarasan dan kelogikan akal manusia.
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
Aku tersentak. Aku bangun dengan kepala yang masih tidak stabil. Duduk dan cuba mengingati apa yang telah terjadi. "Oh, dah pukul 10.30 pagi. Panjang juga mimpi tu."

Hanya mimpi yang telah diubah suai sedikit dari cerita asal untuk membuang segala bagai perkara yang jauh dari kewarasan manusia biasa. Harap maklum. =)

No comments: